Jul 10, 09 2:57pm
Keinginan menggugurkan isteri perdana menteri Rosmah Mansor sebagai canselor Universiti Industri Selangor (Unisel) bergema semula malam tadi di satu majlis yang dihadiri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Para pelajar yang menghadiri "Forum dan Pidato Memperkasakan Mahasiswa & Realiti Politik Kampus" bersama penasihat PKR sebulat suara menolak isteri Datuk Seri Najib apabila diajukan isu tersebut.
Hanya seorang pelajar yang mengangkat tangan apabila Anwar bertanya sama ada wajar wanita pertama negara dikekalkan sebagai canselor Unisel - seperti ditegaskan menteri besar, tahun lalu.
Menurut lamab web penyokong mantan timbalan perdana menteri itu, isu itu berbangkit semula apabila seorang daripada lebih 1,000 pelajar mengemukakan cadangan menukar naib canselor mereka kini.
"Seluruh pelajar Unisel bertepuk menyatakan persetujuan," satu coretan blog Anwar Ibrahim Club dipetik.
Susulan cadangan itu dalam sesi soal jawab selepas ucapannya selama sejam, Anwar kemudiannya meminta pelajar-pelajar yang ingin Rosmah diganti agar mengangkat tangan tanda bersetuju.
"Riuh rendah keadaan bila seluruh dewan yang sesak dengan pelajar-pelajar, termasuk beberapa pensyarah juga, mengangkat tangan dan bertepuk menandakan persetujuan mereka," laporan blog itu dipetik.
Desakan yang sama pernah disuarakan oleh pergerakan Pemuda Pakatan Rakyat awal November lalu tetapi ia segera ditolak oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Dalam surat bantahan 5 November lalu, mereka mendakwa Rosmah "tidak memiliki keunggulan keilmuan yang sewajibnya ada pada gedung ilmu."
Unisel, yang ditubuhkan pada 1999, melantik Rosmah sebagai canselor pertamanya pada Ogos 2006.
Ia diuruskan oleh Pendidikan Industri Yayasan Selangor Sdn Bhd (PIYSB) yang dipengerusikan oleh menteri besar.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment