Tuesday, May 20, 2008

Ketuanan rakyat, Melayu 'sama saja' - Malaysiakini

Oleh Jimadie Shah Othman | May 20, 08 1:01pm

Pemuda Umno menyifatkan idea ketuanan rakyat yang cuba diketengahkan oleh Pakatan Rakyat sinonim dengan ketuanan Melayu yang diperjuangkan oleh Umno.

"Ketuanan rakyat dan ketuanan Melayu adalah sinonim, perkara yang sama.

"Rakyat (itu) siapa? Kalau kita jumpa sepuluh orang Malaysia, enam daripada mereka orang Melayu," kata setiausaha pergerakan itu Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Beliau yang juga ahli parlimen Kota Belud berkata, sesuatu ketuanan itu mesti berteraskan bangsa majoriti sesuatu negara itu.

"Mana boleh golongan minoriti (Cina, India dan lain-lain) menjadi teras negara. Dalam konteks Malaysia, bangsa majoriti adalah Melayu.

"Oleh itu sudah tentu Melayu menjadi teras. Tetapi tanpa menganaktirikan bangsa-bangsa lain," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau diminta mengulas kenyataan ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo yang melihat slogan ketuanan rakyat sebagai satu usaha meruntuhkan asas-asas Perlembagaan Persekutuan yang dipertahankan dalam perjuangan ketuanan Melayu.

Menulis dalam blognya, Dr Mohamad Khir berkata, ada kumpulan yang memperkenalkan slogan ketuanan rakyat untuk memberi tekanan kepada Umno.

"Apakah yang ingin diruntuhkan melalui slogan ketuanan rakyat? Pada hemat saya, ketuanan rakyat ini akan cuba menjadikan negara ini sebagai sebuah negara republik," katanya dalam blognya itu.

Bagaimanapun, Abdul Rahman berkata, bangsa lain tidak patut mendakwa mereka teraniaya kerana Umno tidak pernah menganiaya kaum-kaum lain.

Menurutnya, Pakatan melaungkan perkara ini untuk mendapatkan markah politik semata-mata.

"Ini (slogan ketuanan rakyat) gimik semata-mata. Bendanya sama," tambahnya.

Reaksi AMK

Sementara itu ketua angkatan muda PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin pula berkata bekas menteri besar Selangor itu tidak faham maksud sebenar republik.

"Saya rasa belaiu tidak faham makna (sebenar) republik. Dan saya juga tidak rasa beliau faham makna (sebenar) federalisme yang diamalkan di negara ini.

"Maksud ketuanan rakyat (yang kita perjuangkan) itu sangat jelas. (Ia) bermaksud rakyat mempunyai kuasa memilih dan mengubah kerajaan yang tidak memberi kebaikan kepada mereka.

"Kita tidak cakap tentang insitusi raja-raja dan perkara lain yang dijamin oleh perlembagaan. (Perkara itu) tidak perlu disentuh," katanya.

Shamsul mendakwa, isu ketuanan Melayu pula sengaja dicipta oleh Umno sendiri sebagai propaganda untuk kekal releven dalam situasi politik semasa.

Beliau juga meminta BN turut memperjuangkan idea ketuanan rakyat kerana BN sendiri merupakan gabungan parti pelbagai kaum.

"Ini yang patut mereka lakukan," katanya kepada Malaysiakini.

No comments: