Saturday, May 31, 2008

Saya tulis dalam blog kerana tidak dapat layanan media, Kata Dr. Mahathir

Utusan - 31/05/2008 4:49pm

PETALING JAYA 31 Mei

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa bahawa beliau tidak lagi mendapat layanan sewajarnya daripada media arus perdana dan ini mendorong beliau menulis di laman blog.

"Saya terpaksa jadi blogger kerana saya tidak mendapat layanan daripada media-media perdana,” katanya.

Dr Mahathir menjelaskan bahawa blog merupakan salah satu medium alternatif untuk beliau menyuarakan pendapat berikutan terdapat sekatan terhadapnya yang dilakukan media tempatan.

"Saya tersekat dan tidak dibenarkan berucap. Ucapan saya juga tidak dibenar dilaporkan di dalam akhbar.

"Pun begitu, blog saya popular. Ramai yang baca. Kalau tidak masuk akhbar pun, orang masih boleh baca di blog saya,” katanya ketika berucap dalam program Suntikan Semangat Satria di sini hari ini.

Mengenai tindakannya keluar daripada Umno, Dr Mahathir berkata tindakannya itu bukan bertujuan untuk menubuhkan parti baru atau untuk mencipta platfom baru bagi kepentingan diri sendiri.

"Walaupun keluar daripada Umno, tetapi pada saya Umno dalam hati saya tidak mati,” katanya.



Beliau juga berkata tindakannya keluar daripada Umno bukanlah pertama kali dilakukannya.

"Ini bukan kali pertama. Bagi saya kalau orang tak nak saya tak apalah,” katanya.

Dr Mahathir mengulangi pendiriannya bahawa Umno yang kini diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi adalah sebuah parti yang tidak lagi memperjuangkan nasib orang Melayu tetapi digunakan untuk kepentingan individu tertentu.

No comments: