Abdul Rahim Sabri | Jun 11, 08 6:51pm
Gabungan Anti-Inflasi (Protes), yang menjanjikan demonstrasi besar 12 Julai ini di Kuala Lumpur, akan memulakan siri pertama bantahannya di Seremban berhubung kenaikan mendadak harga minyak.
Selain penyelarasnya Dr Mohd Hatta Ramli, program selama sembilan jam yang bermula pukul 3 petang turut disertai naib presiden PKR Tian Chua, naib presiden PAS Mohamad Sabu dan setiausaha agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan.
Program itu dimulakan dengan pengedaran risalah anti-kenaikan harga minyak dan sidang media di hadapan bangunan Umno Negeri Sembilan berakhir dengan ceramah umum yang disampaikan barisan pemimpin tersebut.
Turut serta di acara itu yang diadakan selepas solat maghrib di masjid Senawang, ahli parlimen DAP di Rasah, Anthony Loke Siew Fook dan wakil rakyat PAS di Paroi, Mohd Taufek Mohd Ghani.
Bantahan ini dalam siri jelajah Protes ke seluruh negara berhubung isu tersebut.
Sejak 2006, Protes - dianggotai 57 badan bukan kerajaan dan lima parti politik pembangkang - mengadakan beberapa siri kegiatan menentang kenaikan harga utiliti, minyak dan tol.
Sepanjang siri jelajah keseluruh negara, Protes menjangkakan untuk mengumpul 100,000 rakyat untuk menyertai demontrasi besar-besaran di ibu kota bulan depan menetang kenaikan terbaru harga minyak Rabu lepas.
Sementara itu, Angkatan Muda PKR Wilayah Persekutuan membatalkan berhasrat berdemontrasi pada 5 petang Jumaat ini di masjid jamek Jalan Tun Perak.
Pembatalan itu selepas arahan AMK pusat dalam mesyuarat malam tadi yang melibatkan Pemuda Pakatan Rakyat, kata naib ketua AMK Wilayah, Rozan Azen Mat Rasip hari ini.
Pemuda Pakatan merancang mengadakan perarakan besar-besaran sejauh hampir dua kilometer 13 Jun berhubung isu minyak.
Pergerakan Pemuda PKR, PAS dan DAP akan bergerak dari masjid Kampung Baru ke Suria KLCC selepas solat Jumaat.
Perhimpunan ini dipercayai yang terbesar pernah dianjurkan oleh parti-parti pembangkang selepas pengumuman kenaikan mendadak harga bahan api.
Penganjurnya menganggarkan kira-kira 3,000 orang akan hadir bersama ketua-ketua pergerakan Pemuda Pakatan, Salahuddin Ayub dan Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Sejak minggu lalu, beberapa demonstrasi kecil diadakan di beberapa lokasi seluruh negara, antaranya di Kuching, Ipoh, Sungai Petani, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment