Monday, July 21, 2008

Anwar bogel: Hospital diperalatkan - Malaysiakini

Jul 21, 08 12:25pm

Hospital Kuala Lumpur "telah diperalatkan untuk mempertahankan" isu Datuk Seri Anwar Ibrahim ditelanjang dan bahagian sulitnya diukur sewaktu pemeriksaan kesihatan minggu lalu, kata peguamnya Sivarasa Rasiah.

"Tidak berbangkit persoalan bahawa Anwar telah dibogelkan ketika pemeriksaan kesihatan," katanya.

"Tidak juga berbangkit persoalan bahawa apabila beliau bersetuju (diperlakukan begitu) untuk pemeriksaan, beliau waktu itu bawah jagaan polis dan sentiasa tertakluk pada arah mereka untuk tujuan siasatan."

"Kami tidak mahu bertekak dengan pihak hospital yang tidak mempunyai pilihan lain kecuali menjalankan tugasnya seperti dikehendaki oleh polis dan akan melaporkannya kepada mereka (polis)," tambah Sivarasa.

Sehari selepas ditahan Selasa lalu, penasihat PKR itu berkata beliau telah ditelanjangkan sewaktu menjalani pemeriksaan di hospital.

Menurutnya, seluruh badan beliau diperiksa, termasuk bahagian sulitnya.

Secara berseloroh, beliau berkata, mereka juga "ukur apa yang perlu" dan beliau "ikut semuanya (arahan doktor)".

"Saya buat pemeriksaan seluruh badan saya, kemaluan saya termasuk mengukur apa yang perlu dan saya ikut semua," kata Anwar apabila dibebaskan.

Katanya, beliau juga enggan membenarkan gambar fizikalnya diambil kerana bimbang ia dibocorkan kepada umum, termasuk di internet.

"Sudah tentu saya menolak diambil gambar kerana ia akan ada dalam (laman perkongsian video) YouTube. Kamu fikir saya boleh percaya sistem sedia ada," katanya.

Menurut mantan timbalan perdana menteri itu lagi, beliau juga enggan sampel darahnya diambil untuk ujian DNA sewaktu menjalani pemeriksaan kesihatan tersebut.

Anwar berkata beliau enggan membenarkan sampel itu diambil atas nasihat peguam dan doktor.

No comments: