Monday, May 19, 2008

Musa: 'Duri dalam daging sudahpun terkeluar' - Malaysiakini

May 19, 08 7:34pm


Mengulas pengumuman Tun Dr Mahathir Mohamad keluar dari Umno, bekas timbalan perdana menteri, Tun Musa Hitam berkata 'duri dalam daging sudahpun terkeluar' dan pucuk pimpinan Umno pula harus menerima realiti bahawa umno tidak sekuat dahulu dan konsep 'Mahathirisme' sudah berlalu.

"Duri dalam daging sudah pun terkeluar dan dari sekarang pucuk pimpinan harus menumpukan usaha mereka kepada: Pertamanya, menerima realiti bahawa Umno sekarang bukan lagi sekuat atau diterima sepenuhnya oleh rakyat, terutamanya Melayu.

"Dan kedua, menerima realiti bahawa konsep "Mahathirisme" sudah berlalu dan Umno harus balik kepada konsep Bersih, Cekap dan Amanah yang pada awal tahun 1980-an telah diterima dengan begitu positif oleh rakyat jelata tetapi dalam jangka masa begitu pendek kita semua dalam Umno telah kesesatan jalan."

Musa mengulas keputusan Dr Mahathir keluar dari Umno yang diumumkan mantan perdana menteri itu di Alor Star tengah hari ini atas alasan hilang kepercayaan kepada Presiden Umno dan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Musa, yang kini pengerusi Sime Darby Berhad, berada di luar negara atas urusan syarikat perladangan negara tersebut, mengeluarkan kenyataan itu menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama.

Musa seterusnya berkata: "Sambarlah peluang keemasan ini!. Bertafakurlah dan berhati-hati dengan tenang...serta baliklah ke pangkal jalan!.

"Setelah tiba di pangkal jalan, ingatlah bahawa yang lebih sangat penting ialah bahawa Umno sentiasa tidak khayal atau lupa memperkotakan kata-katanya sepanjang masa," kata beliau.

Semasa era Dr Mahathir menjadi presiden Umno dan perdana menteri, Musa pernah menjadi timbalannya di dalam parti dan kerajaan dari 1981 hingga 1986.

Beliau meletakkan jawatan dalam kerajaan pada 1986 kerana tidak bersetuju dengan dasar-dasar Dr Mahathir.

Mengulas lanjut mengenainya, Musa berkata beliau sedih dengan tindakan Dr Mahathir meninggalkan Umno ketika parti itu sedang menghadapi keadaan yang sangat mencabar.

Bagaimanapun, katanya, ahli-ahli Umno harus menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka dan tenang dan beliau percaya kejadian tersebut tentu ada hikmahnya.

"Saya sedih dan dukacita mendengar berita Dr Mahathir keluar daripada Umno. Lebih-lebih lagi dalam waktu Umno menghadapi keadaan yang sangat mencabar sekarang.

"Walau bagaimanapun, ahli Umno harus menerimanya dengan hati terbuka dan tenang. Tentu ada hikmahnya di sini," katanya

No comments: