Thursday, February 19, 2009

Anwar dakwa BN terus cuba musnahkan Pakatan - MStar

Feb 19, 2009

KETUA Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sidang media di lobi Parlimen, hari ini --foto THESTAR oleh Raja Faisal Hishan

KUALA LUMPUR: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendakwa bahawa Umno cuba merasuah wakil rakyat di negeri dikuasai pakatan pembangkang untuk memujuk mereka menyertai Barisan Nasional (BN).

Beliau mendakwa kononnya ejen-ejen pemimpin Umno juga menggunakan kaedah tidak beretika lain termasuk mengugut untuk membuat wakil rakyat pakatan tersebut supaya meninggalkan parti masing-masing dalam usaha mereka mahu menjatuhkan kerajaan negeri yang dikuasai pembangkang.

Ketika berucap membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Anwar yang juga Ketua Pembangkang mendakwa beliau mempunyai bukti-ibukti yang menyokong dakwaannya.

Beliau memberitahu pemberita di luar dewan kemudian bahawa beliau mempunyai rakaman TV litar tertutup bagi membuktikan ejen-ejen Umno menawarkan rasuah dan akan mengemukakan bukti berkenaan apabila tiba masanya.

Menyentuh mengenai perkembangan politik di Perak, Anwar (PKR-Permatang Pauh) mengulangi pendiriannya tidak bersetuju dengan cadangan Pengerusi DAP Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) untuk menyaman Sultan Perak Sultan Azlan Shah, sebaliknya bersetuju jika kerajaan negeri yang disifatkannya tidak sah, disaman.

Kerajaan Perak kini dikuasai BN selepas tiga Adun bebas di negeri itu menyatakan sokongan kepada BN yang mempunyai 28 kerusi, menumbangkan pakatan DAP, PAS dan PKR yang juga mempunyai 28 kerusi.

No comments: