Azamin Amin
Tue | Feb 10, 09 | 11:40:31 am MYT
KUALA LUMPUR, 10 Feb (Hrkh) - Semua pihak termasuk Sultan Perak Raja Azlan Shah dan Umno, mestilah menangani krisis Perak mengikut undang-undang dan Perlembagaan Negara bagi mengembalikan kestabilan politik negeri itu yang kian kusut dan tergugat.
Ketua Penerangan PAS Pusat Dato' Mahfuz Omar berkata jika ianya tidak dilakukan maka imej institusi Raja akan tercemar di mata dunia malah keyakinan pelabur untuk menyumbangkan kepada peningkatan ekonomi negeri ini akan turut terjejas.
"Jalan yang ada ikut undang-undang iaitu kembalikan mandat kepada rakyat dan membubarkan DUN ataupun adakan tiga pilihan raya kecil di Changkat Jering, Behrang dan Jelapang akibat Adun-adun yang berpaling tadah terhadap harapan rakyat," katanya ketika menghubungi Harakahdaily sebentar tadi.
Dua kaedah ini sangat penting, supaya rakyat dan masyarkat antarabangsa yakin dengan pelaksanaan undang-undang dalam negara yang sewajaranya melindungi rakyat daripada sebarang ketidak-adilan.
"Jika undang-undang dilanggari, apa lagi yang tingggal kepada rakyat dan juga masyarakat pelabur yang mahu datang ke sini? Mereka tidak akan 'invest' kalau politik tidak stabil dan kerajaan sedia ada membelakangkan undang-undang.
"Ini sekaligus menjejaskan peningkatan ekonomi yang sudah sedia maklum makin merudum," katanya.
Himpunan rakyat dan tunjuk perasan oleh Umno baru-baru ini untuk terus mempertahankan kerajaan haram Perak katanya jelas membuktikan, Umno sejak awal lagi sudah membelakang undang-undang dan sering menggunakan sentimen kuasa Raja-raja untuk meraih sokongan.
"Proses lantikan Menteri Besar sangat jelas dan termaktub dalam undang-undang dan bila Umno buat begini nyatalah dia melanggar undang-undang bukannya kita," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.
Beliau turut menyeru supaya institusi Raja-raja tidak mengiktiraf kerajaan 'haram' Perak dan mengembalikan semula kuasa memilih di tangan rakyat.
"Sangat penting Raja memberi mandat semula kepada rakyat, jika tidak ianya dilihat seolah-olah Ketua Negeri tidak lagi dapat melindungi dan memayungi rakyat jelata.
"Sultan mestilah bertindak atas sifat sebagai payung, penjaga negeri dan perlembagaan. Kita tidak mahu rakyat melihat seolah-olah Sultan menyebelahi pihak tertentu," katanya. - azm
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Saya juga merasakan Datuk Dr. Zamri serta rakan-rakan patut merasa malu kerana menjadi 'pak sanggup' menawarkan diri menjadi 'pembesar-pembesar' negeri Perak yang baru. Lebih baik lagi sikap bekas MB Perak, Datuk Tajol Rosli yang berani meletakkan jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Perak secara berhemah dan penuh bertanggungjawab. Sebaliknya cara Datuk Dr. Zamri 'naik' cuma mendapat restu Paduka Seri Sultan Perak tetapi bukan oleh majoriti rakyat Perak (itupun setelah Paduka Seri Sultan Perak mendengar nasihat Datuk Seri Mohd Najib yang kebetulan ayahandanya Tun Abdul Razak mempunyai hubungan rapat dengan Tuanku Raja Azlan). Selain patut merasa malu kerana menjadi Menteri Besar yang paling tidak direstui rakyat (dan setengah pihak langsung membencinya), Datuk Dr. Zamri juga patut sedar yang beliau pastinya akan menghadapi pelbagai kesukaran untuk memerintah negeri dan beliau juga tidak akan pernah merasa selamat dengan jawatan tersebut. Yang jadi persoalan..., Datuk Dr. Zamri ni 'berjuang' untuk siapa dan untuk apa dia menyanggupi menjadi Menteri Besar Perak ketika dalam krisis sebegini? Jika dahulu pernah beliau berjuang untuk membela Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika dianiayai Tun Dr. Mahathir, sekarang ke mana perjuangan tersebut? Sekarang ini perjuangan apa? Adakah perjuangannya sekarang ini dianggap begitu bererti bagi dirinya? Sebusuk-busuk Tun Dr. Mahathir sekalipun dia masih dan sentiasa berpegang dengan apa sahaja prinsipnya sejak dari dahulu hingga sekarang, tapi bagaimana dengan Datuk Dr. Zamri.... Sesungguhnya tidak mudah bagi seseorang itu untuk dianggap berbakti, berjasa, berjaya dan bermaruah jika sering 'mendurja perjuangan'...!
Post a Comment