Thursday, February 12, 2009

PAS: Sultan perkenan Arumugam berundur - Malaysiakini

Jimadie Shah Othman | Feb 11, 09 8:11pm

PAS mendakwa Sultan Kedah memperkenankan V Arumugam berundur dan "tidak timbul sebarang keraguan" berhubung kesahihan pelepasan jawatannya sebagai exco kerajaan negeri dan wakil rakyat Bukit Selambau.

Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, Istana Anak Bukit telah mengeluarkan surat perkenan berhubung peletakan jawatan Arumugam.

Kandungan surat itu yang dikeluarkan Isnin lalu bagaimanapun tidak dijelaskan.

Mahfuz diminta mengulas laporan sebuah akhbar harian yang menyatakan Arumugam diperintah hadir menghadap baginda, bimbang peletakan jawatannya tidak dibuat dengan sukarela.

Setiausaha kanan kepada menteri besar Kedah ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan menerima surat perkenan itu kelmarin.

"Sultan telah perkenan pada 9 Februari. Ada surat daripada pejabat Tuanku pada jam 6.30 petang. Tidak timbul Tuanku hendak memanggilnya (Arumugam) menghadapnya," kata Sanusi Mohd Noor.

Pada hari yang sama, Menteri Besar Datuk Seri Azizan Razak mempersembahkan surat Arumugam bersama akuan berkanunnya kepada Sultan Kedah dan seterusnya mengumumkannya kepada media.

Pengumuman itu bagaimanapun tidak dibuat serentak, sebaliknya pada dua majlis berasingan – satu di sebelah petang, manakala satu lagi malam.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Dr Abd Isa Ismail dilaporkan berkata, Azizan telah menyembahkan perkara itu kepada Sultan Kedah pada hari yang sama.

Ditanya sama ada surat dari istana itu perlu dikemukakan kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) supaya tidak timbul sebarang keraguan mengenai peletakkan jawatan Adun berkenaan, Sanusi berkata "tidak perlu".

Sebaliknya, menurut beliau, Speaker hanya perlu mengeluarkan surat memaklumkan kekosongan itu kepada suruhanjaya itu.

Dihubungi petang ini, Dr Abdul Isa berkata beliau berpuas hati dengan surat Arumugam yang diterimanya.

Tambahnya, surat itu turut disokong oleh akuan bersumpah beliau, menyebabkan tidak ada sebab untuk meragui isi surat tersebut.

"Mengikut peraturannya, SPR kena ikut sahaja. Apabila speaker kata kosong, speaker kena ambil tanggungjawab itu," katanya.

Sementara itu, setiausaha PAS Kedah Muhammad Yusuf Husin pula enggan mengulas mengenai laporan akhbar itu kerana tidak mengetahuinya.

Senator itu berkata, pihaknya juga tidak cuba berhubung dengan bekas Adun itu, tetapi beliau tidak pasti jika pejabat menteri besar pernah berusaha berbuat demikian.

Beliau berkata, tidak ada keperluan menghubungi Arumugam kerana beliau "telah letak jawatan".

"Beliau tidak mahu diganggu. Kita tidak perlulah ganggu dia," katanya.

No comments: