Abdul Aziz Mustafa
Thu | Feb 05, 09 | 4:34:12 am MYT
KUALA LUMPUR, 4 Feb (Hrkh) - Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar memohon agar Sultan Perak tidak mengizinkan Barisan Nasional (BN) menubuhkan kerajaan di Perak dengan mengheret dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menghadapi tuduhan rasuah untuk mendapatkan majoriti mudah.
"Jika Sultan mengizinkan penubuhan kerajaan Perak dengan cara seperti itu, ia bukan sahaja dibimbangi akan mencemarkan nama baik istana malah ia akan memberi kesan kepada pertuduhan rasuah ke atas Jamaluddin (Mohd Radzi) dan Mohd Osman (Mohd Jailu).
"Sebagaimana yang diketahui Sultan Perak sendiri, Jamaluddin dan Mohd Osman akan menghadapi tuduhan rasuah dan tindakan mereka menyokong BN walaupun sebagai ADUN Bebas dilihat sebagai usaha untuk membolehkan tuduhan ke atas mereka digugurkan," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.
Jika tuduhan ke atas mereka digugurkan, katanya, adalah dibimbangi rakyat akan melihat tuduhan ke atas mereka digugurkan berikutan persetujuan istana membenarkan BN membentuk kerajaan melalui majoriti mudah hasil penyertaan kedua-dua ADUN yang dituduh rasuah itu.
"Jika perkara itu berlaku, adalah dibimbangi rakyat akan melihat istanalah yang membebaskan kedua-duanya dari tuduhan rasuah.
"Semua pihak maklum, jika mereka masih berada dalam kerajaan Pakatan Rakyat (PR), tidak mungkin tuduhan ke atas mereka digugurkan," katanya.
Mahfuz memohon Sultan Perak agar tidak melakukan sesuatu yang boleh menyebabkan baginda dituduh mengizinkan "penubuhan apa yang didakwa sebagai kerajaan kaki rasuah".
"Malah istana juga mungkin dituduh membiarkan dua orang yang dituduh rasuah berada dalam gerombolan yang memerintah Perak melalui apa yang dilihat sebagai tindakan merasuah juga - malah turut dilihat menggunakan ugutan untuk membentuk kerajaan.
"Tidak ada siapa pun yang dapat mahu melihat Sultan Perak dituduh membiarkan negeri di bawah naungan baginda dicengkam oleh gerombolan yang membentuk kerajaan melalui tindakan yang didakwa menggunakan ugutan dan rasuah," kata beliau.
Mahfuz juga tidak mahu melihat Sultan Perak dituduh merestui apa yang didakwa sebagai perancangan mengugut dan merasuah secara besar-besaran semata-mata kerana hendak menebus ego seseorang yang hendak menjadi Perdana Menteri ketika cita-citanya menerima tamparan hebat apabila indeks kepercayaan terhadapnya jatuh merudum.
"Jika Sultan terpalit dengan tuduhan sedemikian, ia merupakan satu detik hitam terhadap nama baik baginda yang selama ini merupakan Sultan yang sangat dihormati malah disanjung sebagai bekas Ketua Hakim yang begitu komited memelihara kedaulatan undang serta kesusilaan bangsa Melayu dan umat Islam.
"Kita tidak mahu sama sekali melihat Sultan Perak yang juga ketua urusan agama Islam di dalam negeri di bawah naungan baginda dituduh mencemarkan nama baik istana malah institusi Raja Melayu sendiri apabila didakwa mengizinkan penubuhan apa yang didakwa sebagai kerajaan perasuah," katanya.
Mahfuz juga mengecam Datuk Najib Tun Razak yang berharap sangat hendak menjadi Perdana Menteri Mac ini yang dilihat menjadi pengarah kepada konspirasi mengheret dua ADUN yang dituduh rasuah itu untuk membolehkan BN membentuk kerajaan di Perak.
"Kita tidak tahu berapa banyakkah wang terlibat dalam menjayakan konspirasi itu tetapi Najib dilihat tidak ada moral lagi untuk diterima oleh rakyat negara ini sebagai Perdana Menteri.
"Rakyat tidak akan menerima dan mempercayai Perdana Menteri yang dilihat mengotorkan nama negara" katanya.
Najib, katanya lagi, juga dilihat melaksanakan apa yang dibimbangi oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Dr Mahathir bimbang Malaysia akan dipimpin oleh perasuah selepas pemilihan Umno Mac ini yang diakui oleh para pemimpin Umno sendiri sebagai begitu tercemar dengan kejijikan rasuah.
"Adalah amat malang apabila Najib dilihat mengeksport kejijikan rasuah yang memburukkan Umno itu ke dalam pembentukan dan keanggotaan kerajaan Perak ," katanya.
Indeks penerimaan terhadap Najib baru-baru ini jatuh merudum apabila hanya 41 peratus sahaja dari mereka yang ditinjau pendapat mereka yang percaya Najib akan menjadi Perdana Menteri yang baik.
Tinjauan tersebut dibuat ke atas 1,018 pengundi Malaysia di negara ini oleh Merdeka Centre bulan lalu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment