Saturday, April 26, 2008

Malaysiakini mohon maaf kepada Khairy - Utusan

KUALA LUMPUR 25 April

Akhbar dalam talian, Malaysiakini hari ini memohon maaf kepada Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berhubung laporan dan dakwaan berterusan bahawa beliau memenangi kerusi Parlimen Rembau pada pilihan raya umum lalu setelah melalui proses pengiraan semula undi.

Permohonan maaf itu dibuat kerana pada pilihan raya umum 8 Mac lalu tidak berlaku pengiraan semula undi di kerusi Parlimen itu yang menyaksikan Khairy menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Badrul Hisham Shaharin dengan majoriti 5,726 undi.

Dalam kenyataan yang dilampirkan di laman webnya, Malaysiakini berkata, pihaknya dimaklumkan oleh lawan Khairy, Badrul Hisham dari PKR bahawa satu pengiraan semula akan diadakan pada malam pengundian itu.

Menurut kenyataan itu lagi, Badrul Hisham memberitahu, dia menerima maklumat tentang pengiraan semula itu daripada seorang pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Bagaimanapun, kini kami mendapat tahu bahawa tidak ada sebarang pengiraan semula yang dilakukan.

"Justeru kami ingin memohon maaf kepada Khairy kerana menerbitkan dakwaan itu dalam berita-berita kami yang menyusul selepas itu," demikian menurut Malaysiakini dalam kenyataan itu.

Kenyataan maaf yang diletakkan di bawah nama Nota Pengarang itu disiarkan di laman web berkenaan bermula pukul 3.35 petang.

Turut disertakan sekali ialah penjelasan oleh Khairy berhubung dakwaan pengiraan semula itu.

Khairy yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO antara lain menekankan bagaimana laporan berterusan Malaysiakini mengenai perkara itu membayangkan beliau tewas pada peringkat awal dan hanya menang setelah meminta pengiraan semula undi dilakukan.

''Sedangkan jumlah undi yang diterima oleh lawan saya pada malam itu tidak memerlukan sebarang pengiraan semula mengikut Peraturan Pilihan Raya 1981.

''Saya diumumkan pemenang dengan majoriti 5,746 undi selepas satu-satunya pusingan pengiraan undi (tidak ada pengiraan semula) yang dibuat malam itu.

''Malah, saya yakin Badrul Hisham juga sebenarnya tidak hadir di pusat pengiraan undi berkenaan pada 8 Mac lalu,'' kata Khairy.

Sementara itu, Khairy dalam reaksinya terhadap permohonan maaf itu berkata, beliau menerima permohonan maaf Malaysiakini.

''Walaupun saya terima permohonan maaf Malaysiakini, saya masih tidak pasti sama ada punca kesilapan mereka adalah kecuaian wartawan atau pun niat jahat terhadap saya.

''Memandangkan kesilapan ini diulang beberapa kali, tak mungkin ia berpunca daripada kecuaian,'' katanya.

No comments: