Monday, April 28, 2008

PKR: Hisham tidak jujur isu keris - Malaysiakini

Apr 28, 08 12:29pm

Pergerakan pemuda PKR menyifatkan permohonan maaf ketua Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein berhubung isu kerusi sebagai "gimik politik yang tidak menunjukkan keikhlasannya".

Angkatan muda parti itu (AMK) berkata Hishammudin juga menunjukkan "sifat lidah bercabang" kerana selain mohon maaf kepada bukan Melayu, beliau juga memohonan maaf kepada orang Melayu "kononnya gagal mempertahankan simbol warisan orang Melayu itu".

"Hasutan bentuk ini akan menimbulkan perasaan tidak puas hati yang menggalakkan bangkit semula sentimen perkauman golongan ekstrem yang akan menafsirkannya sebagai orang bukan Melayu yang mengakibatkan Melayu gagal mempertahankan simbol warisan orang Melayu," kata ketua penerangan AMK Lau Tek Hai.

Dalam satu kenyataan semalam, beliau juga menyifatkan Hishammuddin sebagai "seorang munafik kerana permohonan maafnya berasaskan punca kekalahan BN dalam pilihanraya umum lalu tetapi bukan mengakui hakikatnya Pemuda Umno telah secara langsung menjejaskan persahabatan antara kaum yang mengakibatkan syak wasangka antara kaum yang lebih parah."

"AMK menasihatkan Hishammuddin agar menyedari bukan sekadar aksi menghunus keris yang menakutkan orang tetapi aksi ini dalam suasana perhimpunan Umno telah mendorong peserta supaya menjadi lebih ekstrem," katanya.

AMK juga mendesak supaya naib ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkongsi tanggungjawab yang sama dengan Hishammuddin.

Khairy, dalam perhimpunan Umno tahun lalu menegaskan akan menghunus keris pada setiap perhimpunan agung Pemuda dan menganggap sesiapa yang tidak berbuat demikian boleh dianggap pengkhianat bangsa.

"(Kenyataan) ini merupakan satu hasutan yang lebih berbahaya yang turut menggalakkan golongan ekstrem dalam Umno," kata Lau.

Angkata muda PKR turut mencabar Hishammuddin dan Khairy berundur daripada arena politik sebagai tanda tanggungjawab penuh sekiranya apa yang dikatakannya itu ikhlas dan benar.

Sementara itu, AMK Pulau Pinang merancang mengadakan konvensyen pergerakan itu pada 24 Mei ini dengan tema 'Membina Harapan Baru Generasi Muda Pulau Pinang' di bangunan Komtar.

"Kita mahu generasi muda di Pulau Pinang sedar bahawa kami sentiasa mendengar pandangan dan komen-komen daripada mereka bagi menjamin keadilan untuk semua rakyat terjamin," kata penganjurnya Amir Ghazali dalam satu kenyataan semalam.

"Setiap AMK bahagian dipertanggungjawabkan membentangkan usul-usul yang telah difikirkankan oleh jawatankuasa konvensyen. Usul-usul ini merupakan antara suara-suara generasi muda yang mahukan keadilan, kesejahteraan dan keamanan terjamin."

Konvensyen sehari itu dirasmikan ketua AMK pusat Shamsul Iskandar Mohd Akin dan majlis penutupannya disempurnakan oleh timbalan ketua menteri Pulau Pinang, Muhamad Fairus Khairuddin.

No comments: