Thursday, April 24, 2008

Shabery: MP pembangkang mungkin sertai BN - Malaysiakini

Apr 24, 08 12:45pm

Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, Pakatan Rakyat sepatutnya berasa bimbang dengan kemungkinan ahli parlimen mereka menyertai Barisan Nasional (BN) ekoran kemarahan rakyat terhadap projek babi berteknologi tinggi RM100 juta di Selangor.

"Saya percaya dia (Anwar) patut bimbang, mungkin ada parti komponen Pakatan Rakyat itu akan bersama dengan BN. Orang banyak marah dengan apa yang berlaku di Selangor sekarang ini. Dia kena sedar, orang Melayu marah sekali.

"Bukan saya nak mainkan sentimen perkauman di sini. Bukan soal ternakan babi itu isu perkauman tetapi bukankah itu yang dijadikan 'priority' (keutamaan) kepada kerajaan negeri Selangor pimpinan PKR," katanya mengulas kenyataan penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa ahli parlimen BN Sabah mungkin menyertai parti itu.

Ahmad Shabery memberitahu kepada pemberita di bangunan parlimen pagi ini selepas meninjau persiapan bagi penyiaran secara langsung sidang Dewan Rakyat yang bermula minggu depan.

Menurut Bernama, beliau berkata, kedudukan Umno dalam Dewan Rakyat yang mempunyai 222 kerusi masih kuat, dengan menguasai lebih 70 kerusi berbanding PKR dengan 31 kerusi.

Semalam Anwar mendakwa beberapa anggota Parlimen BN di Sabah sudah memutuskan untuk menyertai Pakatan Rakyat dan hanya menunggu masa yang sesuai untuk berbuat demikian.

"Yang menghalang mereka berbuat demikian ialah masanya belum sesuai. Malahan, ahli parlimen berkenaan belum mengangkat sumpah di parlimen. Kami tidak mahu tergesa-gesa," kata Anwwar kepada pemberita di Kota Kinabalu.

Beliau dilaporkan berkata mereka akan menyertai Pakatan Rakyat selewat-lewatnya pertengahan September depan.

No comments: