Apr 28, 08 1:07pm
Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail - dengan gayanya yang lemah lembut dan tidak agresif - tidak akan menjadi ketua pembangkang yang lemah di Dewan Rakyat, kata naib presidennya Mohd Azmin Ali.
"Walaupun dalam kelembutannya tetapi mesej yang akan disampaikan itu cukup tegas untuk memastikan agenda reformasi diteruskan.
"Dan saya percaya beliau sedang menyiapkan ucapan sulungnya yang akan disampaikan pada pertengahan minggu depan," kata Azmin, yang juga ahli parlimen Gombak, dalam wawancara dengan Malaysiakini, Jumaat lepas.
Wan Azizah, ahli parlimen Permatang Pauh, terpilih sebagai ketua pembangkang selepas partinya menguasai 31 kerusi, manakala DAP 28 dan PAS 23.
Beliau mencipta sejarah sebagai ketua pembangkang wanita pertama di parlimen. Ketua pembangkang sebelum ini Lim Kit Siang, seorang tokoh utama DAP, memegang jawatan itu hampir tiga dekad.
Sesi pertama penggal ke-12 bermula hari ini dengan upacara angkat sumpah semua anggota Dewan Rakyat dengan dimulakan dengan yang dipertua dewan Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan diikuti perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Seramai 222 ahli, termasuk 82 ahli parlimen Pakatan Rakyat, menyertai upacara itu di depan yang dipertuanya pagi ini.
Ia diikuti timbalan perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, menteri-menteri kanan dan menteri-menteri yang baru sebelum disusuli ahli-ahli Dewan Rakyat.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment