Thursday, April 24, 2008

Hashim fail petisyen batal keputusan - Utusan Malaysia

KANGAR 23 April, 2008 Oleh JOHARI SHAWAL

Pesuruhjaya Pas Perlis, Hashim Jasin memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bagi membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang.

Hashim yang diwakili peguamnya, Zulmi Sabri memfailkan petisyennya pukul 3 petang ini yang diserahkan kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kangar, Badrul Munir Mohd. Hamdy.

Petisyen itu dikemukakan Hashim bagi meminta mahkamah membatalkan keputusan pilihan raya umum lalu bagi kerusi DUN Sanglang yang diisytiharkan dimenangi oleh calon Barisan Nasional (BN), Abdullah Hassan.

Zulmi berkata, petisyen itu difailkan mengikut peruntukan undang-undang iaitu sebarang bantahan hanya boleh dibuat dalam bentuk petisyen iaitu dalam tempoh 21 hari selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 diwartakan.

"Petisyen ini dikemukakan setelah Mahkamah Tinggi di sini menolak saman pemula yang dikemukakan Hashim awal bulan lalu. Butiran petisyen ini menyamai saman pemula yang dikemukakan anak guam saya sebelum ini.

"Sekarang kita hanya menunggu pihak mahkamah menetapkan tarikh prosiding seterusnya," katanya.

Dalam pilihan raya umum lepas, kerusi DUN Sanglang diisytiharkan dimenangi oleh Abdullah dari BN dengan majoriti 149 undi. Berdasarkan kiraan, Abdullah memperoleh 3,384 undi manakala Hashim memperoleh 3,235 undi.

Hashim yang merupakan calon Pas bagi kerusi DUN Sanglang sebelum ini mengemukakan saman pemula melalui dua peguamnya iaitu Zulmi dan Mohamed Hanipa di Mahkamah Tinggi di sini pada 17 Mac lalu.

Dalam saman itu, Hashim menamakan Abdullah, pegawai pengurusan pilihan raya bagi Parlimen Arau, Muhamad Daud Abdull Hamid dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai defendan-defendan.

Hashim mendakwa, defendan kedua dan ketiga telah melakukan kesilapan kerana mengisytiharkan Abdullah memenangi kerusi DUN tersebut.

Plaintif mendakwa, keputusan itu bercanggah dengan fakta pada Borang 14 penyata kiraan undi yang menunjukkan beliau menang dengan majoriti 47 undi selepas mendapat 3,333 undi berbanding 3,286 yang diterima oleh Abdullah.

Hashim mendakwa selaku pemenang bagi kerusi tersebut, defendan ketiga perlu mewartakan bahawa keputusan pilihan raya umum lalu bagi DUN Sanglang dimenangi olehnya dan melantik beliau sebagai ADUN Sanglang

No comments: