07/08/2008 11:01am
KUALA LUMPUR 7 Ogos - Parti-parti pembangkang bersetuju melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang jika beliau memenangi pilihan raya kecil Permatang Pauh pada 26 Ogos ini.
Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat pimpinan pakatan pembangkang semalam.
``Kami bersetuju bahawa sekiranya Anwar memasuki Parlimen, beliau akan dipilih sebagai Ketua Pembangkang bermula 27 Ogos ini,’’ katanya semasa membacakan kenyataan di perkarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini hari ini.
Menurutnya, jika Anwar tidak dibenar ikat jamin atau ditahan hari ini, maka Wan Azizah Wan Ismail, isteri Anwar dan juga presiden Parti Keadilan Rakyat akan bertindak sebagai penyelaras majlis pimpinan ini.
``Kami bersetuju sepenuhnya dengan Anwar sebagai calon pakatan pembangkang (bagi pilihan raya kecil Permatang Pauh) dan kami akan membentuk jentera bersama untuk memberikan sokongan penuh kepada beliau,’’ ujarnya.
Kenyataan itu ditandatangani oleh beliau, Wan Azizah, Datuk Husam Musa mewakili Pas dan Karpal Singh. - Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment