Malaysiakini by Lee Ban Chen | Mar 12, 08 5:15pm
Malaysia telah dilanda tsunami politik pada 8 Mac 2008 yang menyebabkan Barisan Nasional kehilangan majoriti dua pertiga dalam Parlimen (BN: 140 kerusi, pembangkang dan bebas: 82 kerusi) dan kuasa pemerintahan empat lagi kerajaan negeri (Pulau Pinang, kedah, Perak dan Selangor) sudah diambilalih oleh parti-parti pembangkang, di samping Kelantan yang sedia dalam tangan PAS.
Rasanya hingga sekarang masih ramai yang masih tidak dapat mempercayai ‘angin perubahan’ boleh memuncak ke tahap ‘tsunami’ yang dalam sekelip mata telah mengubah landskap politik negara kita! Namun ini bukan mimpi tetapi realiti yang perlu diterima oleh semua pihak terbabit supaya dapat menyesuaikan diri dengan perkembangan terbaru ini..
‘Tsunami politik’ sungguhpun mengejutkan, ia juga umpama tsunami alam, pasti ada sebab musababnya meskipun ia gagal dikesani sebelum berlaku. Jika parti-parti atau para penganalisis politik (termasuk saya sendiri) tidak dapat menjangka perubahan politik yang total ini, atau lebih teruk lagi tidak dapat terima dan menyesuaikan diri (umpamanya bekas menteri-menteri besar yang ‘menghilangkan’ diri), bermakna kita sebenarnya sudah gagal mengetahui sentimen dan trend pengundi sebelum mengundi, dan tidak berani menghadapi realiti baru selepas para pengundi membuat keputusan muktamad.
Punca ‘tsunami politik’ tidak dapat dikesani terlebih awal, selain daripada kemungkinan yang berkaitan dengan penguasaan secara struktur dan monopoli media/pendapat umum oleh BN serta sekatan dan tindasan terhadap parti-parti pembangkang, badan bukan kerajaan dan media alternatif melalui undang-undang represif dan alat-alat negara, mungkin juga berkaitan dengan kelemahan-kelemahan badan-badan terbabit, khasnya tersisih daripada masyarakat pelbagai lapisan.
Rasanya ramai penganalisis politik, termasuk media dan parti alternatif hanya mengesani perubahan drastik dan meluas sentimen pengundi kaum India kerana telah ‘dikejutkan’ oleh perhimpunan raksasa Hindraf pada hujung tahun 2007 serta perkembangan susulannya, termasuk penahanan lima pemimpin Hindraf di bawah ISA yang terkutuk dan tindasan ganas terhadap mereka yang ingin menghantar ‘bunga ros’ kepada Perdana Menteri Abdullah, meminta agar tahanan-tahanan ISA dibebaskan.
Menjelang pilihanraya umum, sentimen pengundi Cina juga dipercayai lebih menguntungkan calon DAP, sungguhpun mereka sering dianggap sebagai pengundi yang ‘sofistikated’ dan sukar diteka. Misalnya kehadiran mereka dalam perhimpunan ceramah calon pembangkang tidak menjamin mereka pasti akan memberi undi kepada calon terbabit, dan yang mengundi calon pembangkang mungkin juga melakukannya secara senyap-senyap tanpa diketahui orang lain.
Kejutan kepada BN
Mungkin kerana terpengaruh oleh propaganda Umno/BN (umpamanya riuh rendah tentang tekad merampas kembali DUN Kelantan) dan media aurs perdana bahawa kaum Melayu adalah penyokong setia Umno/BN dan pengaruh PAS dan PKR (khasnya faktor Anwar Ibrahim dan gerakan reformasi) sudah makin merosot. Perlu diakui, jarang ada yang mempercayai matlamat pembangkang untuk menafi dua pertiga kerusi BN akan dicapai dalam pilihanraya umum kali ini.
Sungguphpun ada sebab musababnya, tidak dapat dinafikan juga wujudnya unsur kebetulan di luar sangkaan. Umpamanya siapakah dapat menjangka Lim Guan Eng yang terumbang-ambing ke sana ke mari mencari tempat selamat untuk bertanding, boleh angkat sumpah menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang sekarang? Siapa pula dapat menjangka DAP sanggup menubuhkan kerajaan negeri bersama PAS? Dengan kata lain, implikasi ‘tsunami politik’ kali ini amat meluas dan mendalam, jauh lebih signifikan daripada perasaan kejutan saja. Ia memerlukan kajian yang lebih teliti, tetapi yang nyata ialah:
Pertama, jelas sekali ‘Harapan baru’ (slogan PKR), ‘Jom berubah’ (slogan DAP) dan ‘Negara kebajikan’ (slogan PAS ) telah disambut baik oleh pengundi pelbagai bangsa untuk menafikan majoriti dua pertiga BN dalam Parlimen, dan menyebabkan BN kehilangan kuasa pemerintahan di lima negeri.
Namun, ia bukan saja merupakan ‘kejutan’ kepada BN, tetapi juga merupakan ‘kejutan’ kepada parti-parti pembangkang terbabit, ‘kematangan’ dan ‘keunikan’ tingkah laku dan cara-cara para pengundi dalam menggembleng ‘tsunami’ politik memerlukan kajian yang lebih perinci. Begitu juga tentang peranan yang dimainkan oleh klip video, SMS , e-mail , blog dan media elektronik yang rasanya amat berkesan kali ini.
Kerajaan campuran
Kedua, sistem Dua Barisan yang diperjuangankan sejak hujung tahun 80-an abad ke-20 seolah-olah dalam pembentukan pada peringkat awal dengan tertubuhnya kerajaan negeri campuran oleh DAP, PKR dan PAS di Perak dan Selangor (belum begitu jelas lagi di Pulau Pinang dan Kedah ) sungguhpun DAP telah menarik diri dari Barisan Alternatif .
Yang sinis tetapi amat bermakna ialah sokongan pengundi kepada ketiga-tiga parti pembangkang terbabit serta pertimbangan politik untuk berkuasa telah ‘memudahkan’ DAP dan PAS mengambil sikap pragmatik yang sanggup berkompromi antara satu sama lain agar tidak mengecewakan sokongan dan pilihan para pengundi yang begitu nekad dan bijak.
Ini satu perkembangan yang patut dialu-alukan dan dihargai oleh semua pihak, sebagai peluang dan inisiatif baru untuk memulihkan kerjasama dalam Barisan Alternatif jika pembangkang ingin mengambil alih kuasa kerajaan pusat pada suatu hari nanti.
Ketiga, selepas dilanda tsunami politik, nampaknya Umno telah diberi pengajaran seperti dijanjikan, MCA, Gerakan dan MIC telah menerima pukulan maut oleh pengundi pelbagai kaum. Dalam keadaan ini, legitimasi parti-parti tersebut untuk mendakwa parti masing-masing mewakili kaum-kaum terbabit sudah dinafikan oleh pengundi pelbagai kaum. Keadaan ini menandakan tumbangnya politik perkauman dan falsafah kongsi kuasa BN yang sudah menghidap barah rasuah, kronisme dan nepotisme yang tidak dapat diubati.
Ringkasnya, harapan politik perkauman beransur-ansur diganti dengan politik baru, yang menekankan keadilan untuk semua tanpa mengira bangsa atau agama, sudah wujud dengan sokongan padu pelbagai kaum seperti yang ditunjukkan dalam pilihanraya umum ke-12 yang baru-baru dilangsungkan.
Harapan baru dan peluang keemasan sudah benar-benar wujud selepas setengah abad negara kita mencapai kemerdekaan, dan sesudah pengorbanan demi pengorbanan oleh begitu ramai pejuang politik negara kita dari semasa ke semasa. Oleh itu, kita wajib meneruskan perjuangan sehingga terlaksananya Malaysia yang benar-benar adil, demokratik, bebas, makmur dan progresif!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment