Tue | Apr 22, 08 | 6:22:45 pm MYT By Salmah Mat Husain
PASIR PUTIH, 22 April (Hrkh) - Kerajaan Kelantan tidak akan menyekat mana-mana golongan bukan Islam di negeri itu menternak babi kerana ia merupakan makanan untuk golongan berkenaan.
Bagaimanapun, Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Dato� Nik Abdul Aziz Nik Mat, memberitahu kerajaan negeri tidak membenarkan ianya diusahakan secara besar-besaran kerana masyarakat Cina tidak seramai di Selangor.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu majlis yang diadakan di sini semalam sebagai mengulas berhubung ternakan binatang berkenaan yang menjadi isu di negeri Selangor.
Tuan Guru seterusnya memberitahu, kerajaan negeri tidak akan menyekat mana-mana individu kaum itu menternak babi sekiranya ia untuk keperluan harian.
"Bagaimanapun kita tidak membenarkan mana-mana pihak membuka ladang ternakan binatang itu secara komersial kerana keperluan di negeri kita ni agak kecil berbanding negeri lain terutama Selangor.
"Cukuplah ladang yang sedia ada di belakang rumah mereka yang diternak secara kecil-kecilan untuk keperluan sendiri dan ianya sudah mencukupi," ujarnya.
Beliau bagaimanapun menyokong tindakan kerajaan Selangor itu sekiranya ia untuk keperluan masyarakat berkenaan yang begitu ramai berbanding di Kelantan.
Tambahnya, walaupun Islam mengharamkan penganutnya memakan daging binatang itu, tidak bererti kerajaan negeri harus bertindak mengharamkan ianya dari diternak oleh masyarakat bukan Islam.
Menyentuh soal pencemaran alam sekitar ekoran penternakan itu beliau berkata ianya boleh dibincangkan dengan Jabatan Alam Sekitar yang mempunyai cara khusus untuk menanganinya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment